Penyertaan OKU belum capai Dasar Satu Peratus

18 Mac 2015
Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun, Azizah

KUALA LUMPUR – Bilangan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor awam dan swasta belum menepati sasaran Dasar Satu Peratus penglibatan OKU dalam sektor pekerjaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, setakat Disember 2014, hanya 4,147 OKU berjaya mendapatkan pekerjaan dan ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan.

Daripada jumlah itu, 3,741 direkod sedang berkhidmat sebagai penjawat awam di pelbagai kumpulan perkhidmatan dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, katanya menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang bertanya jumlah pekerja OKU di sektor awam dan swasta mengikut kumpulan perkhidmatan.

“Daripada jumlah itu, tiga penjawat awam OKU sedang mengisi jawatan di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam, 1,045 dalam perkhidmatan pengurusan dan profesional dan 2,693 dalam perkhidmatan sokongan.

Bagaimanapun, secara umumnya penglibatan OKU dalam sektor pekerjaan masih belum menepati sasaran Dasar Satu Peratus OKU dalam sektor pekerjaan khususnya di sektor awam”, katanya.

Azizah berkata, usaha akan terus dipergiatkan bagi membolehkan lebih ramai OKU mendapat akses pekerjaan selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Seksyen 29 Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan komitmen negara di bawah Artikel 27 Konvensyen Mengenai Hak OKU yang diratifikasi pada 2010.

Katanya, Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan yang diperkenalkan pada tahun 1988 telah diperkukuh melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 yang mula berkuatkuasa pada 15 Disember 2010.

Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam, terdapat lapan buah agensi kerajaan yang mencapai sasaran Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam.

Antaranya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (4.55 peratus), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (2.94 peratus), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (1.69 peratus) serta Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri masing-masing 1.43 peratus, katanya.

Azizah berkata, bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan menggalakkan penggajian OKU dalam pasaran kerja, kerajaan melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan Sistem Penempatan OKU (SPOKU).

Sistem itu, katanya, bagi membolehkan padanan pekerjaan dibuat antara calon OKU dengan jawatan yang sesuai di sektor swasta. – Bernama