SPR: Pengundi OKU diberi keutamaan

20 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU) menunaikan hak mengundi mereka dengan selesa pada PRU14.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata kemudahan disediakan termasuk membenarkan ahli keluarga atau orang dipercayai menemani mereka ketika proses pengundian berlaku.

“Selain itu, petugas pilihan raya juga perlu membantu pemilih OKU ke tempat mengundi dan menyediakan kemudahan seperti kerusi roda kepada pemilih yang uzur,” katanya.

Semalam, Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI) meminta SPR menyediakan kemudahan pengundian mesra OKU.

Hashim berkata pihaknya sememangnya mengambil kira keperluan bagi pemilih OKU dan akan meneliti saranan dikemukakan DAMAI bagi menyediakan kemudahan tambahan lain untuk golongan itu.

“Sebenarnya pemilih OKU akan sentiasa diberi keutamaan di pusat mengundi oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

https://www.bnbbc.my/spr-pengundi-oku-diberi-keutamaan/