SPR Sedia Kemudahan Pengundian Mesra OKU Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – Buletin TV3

SPR Sedia Kemudahan Pengundian Mesra OKU

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil kira keperluan bagi pengundi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), untuk menunaikan hak mengundi dengan lebih selesa, selain yakin dan menjamin kerahsiaan undi mereka.

Bagi tujuan itu, SPR menyediakan pelbagai kemudahan kepada golongan OKU pada PRU ke-14 kelak.

Menerusi satu kenyataan, SPR berkata pihaknya membenarkan ahli keluarga atau orang dipercayai untuk menemani mereka semasa pengundian.

SPR turut menyediakan kemudahan anggota petugas pilihan raya bagi membantu pemilih OKU untuk ke tempat mengundi.

Selain itu, SPR juga menyediakan kemudahan kerusi roda kepada pemilih yang uzur atau kurang upaya.

Pemilih OKU juga akan sentiasa diberi keutamaan di pusat-pusat mengundi oleh SPR.

Kenyataan SPR ini dikeluarkan sebagai maklumbalas terhadap cadangan dan saranan oleh Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI), yang meminta supaya SPR menyediakan kemudahan pengundian yang mesra OKU.

SPR turut menghargai usaha DAMAI ini dan berharap semua pemilih dalam kalangan OKU dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dengan selesa dan lancar.