HARAPAN OKU: JADIKAN HAK SATU KENYATAAN

Kehadapan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia.

Surat Terbuka – Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan (Commission for Disability Inclusion) dan Enakmen Akta Diskriminasi Ketidakupayaan (Disability Discrimination Act) bagi Penguatkuasaan Hak Orang Kurang Upaya di Malaysia.

Kami, rakyat Malaysia yang masih dipinggirkan dan dibebankan oleh pelaksanaan yang lemah dari pelbagai dasar yang berkaitan dengan ketidakupayaan dan pembangunan di negara ini, mahu kajian semula dilakukan ke atas Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) dan semua undang-undang lain yang berhubungan dengan Orang Kurang Upaya, untuk mencapai kepada penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan dengan kuasa penguatkuasaan dan penggubalan Akta Diskriminasi Ketidakupayaan.

1. Kepimpinan YAB adalah daya penggerak yang diperlukan untuk mengubah negara ini ke hadapan dan mencapai peluang yang saksama bagi Orang Kurang Upaya di negara ini yang akan memenuhi Wawasan 2020 dan seterusnya di mana penuaan masyarakat tidak dapat dielakkan.

2. Menjelang 2040, gabungan penduduk kurang upaya dan warga emas akan membentuk 34% daripada populasi negara dan banyak isu perlu ditangani segera dalam semua sektor seperti perumahan, tempat dan kemudahan awam, pengangkutan, pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan lain-lain aspek komuniti dan kehidupan sosial.

3. Akta Orang Kurang Upaya 2008, telah terbukti tidak berkesan untuk sedekad yang lalu dan tidak membawa perubahan penting dalam menegakkan hak Orang Kurang Upaya seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya.

4. Akta Diskriminasi Ketidakupayaan yang dicadangkan akan melengkapi Akta Orang Kurang Upaya 2008, dan semua undang-undang lain yang berkaitan. Akta baru ini akan menyediakan tindakan undang-undang dan hukuman kepada pihak yang tidak mematuhi Akta ini dan semua undang-undang lain yang berkaitan dengan Orang Kurang Upaya. Penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan di bawah undang-undang akan memantau dan memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan pelan tindakan dalam semua bidang untuk menegakkan hak Orang Kurang Upaya di Malaysia.

5. Akta baru dan Suruhanjaya ini harus berada di dalam dan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri untuk mengintegrasikan semua dasar dan undang-undang di setiap Kementerian yang berkaitan dengan ketidakupayaan termasuk aksesibiliti dan reka bentuk sejagat.

Yang ikhlas,
HARAPAN OKU