Henti diskriminasi OKU

PETALING JAYA 1 Julai – Beberapa pertubuhan dan persatuan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikenali sebagai ‘Harapan OKU’ menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan dan mewujudkan Akta Diskriminasi Ketidakupayaan demi memberi perlindungan dan hak kepada golongan berkenaan.

Bekas Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob berkata, Akta OKU 2008 perlu digantikan dengan Akta Diskriminasi Ketidakupayaan sebagai tindakan undang-undang dan hukuman keras kepada pihak yang tidak mematuhi akta tersebut bagi melindungi hak dan menghapuskan diskriminasi terhadap golongan itu.

Jelasnya, sejak 10 tahun lalu, Akta OKU 2008 yang diperkenalkan untuk mempromosikan hak golongan itu di negara ini dilihat gagal dan terbukti tidak berkesan dalam melindungi hak-hak mereka, sebaliknya hanya berfungsi sebagai dokumen pentadbiran tanpa kuasa penguatkuasaan.

“Golongan OKU terus berdepan halangan dan diskriminasi dalam kehidupan seharian. Kami terus dinafikan banyak hak asasi dan terpinggir dalam masyarakat terutama dalam pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan selain politik, ekonomi, agama, budaya mahupun sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Tasik Taman Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU, V. Muru-geswaran.

Terdahulu kira-kira 100 OKU dan aktivis berhimpun secara aman di tasik tersebut bagi me­luahkan pelbagai isu, hak-hak dan perlindungan terhadap OKU.

Menurut Dr. Naziaty, penubuhan suruhanjaya itu berfungsi sebagai penguat kuasa untuk memantau dan memastikan pelaksanaan di semua sektor dan peringkat.

“Malaysia yang progresif dan berjaya akan memastikan ke-sejahteraan semua kumpulan terpinggir, termasuk OKU terus dipelihara dan hak mereka dilin-dungi dengan baik. Kami juga te-lah mengemukakan permintaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beliau bersetuju mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, Harapan OKU juga mahu kerajaan meminda Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi atas dasar kelainan upaya.

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/henti-diskriminasi-oku-1.700810