Jawapan Positif Daripada Bank Simpanan Nasional

Encik V.Murugeswaran,
Presiden,
Damai Disabled Persons Association Sel & W.P.
No. 4, Lorong 1A/71J, Jalan Carey,
46000 Petaling Jaya, Selangor.

Tuan,

PENYEDIAAN LALUAN UNTUK ORANG KURANG UPAYA DI CAWANGAN BANK SIMPANAN NASIONAL

Merujuk kepada surat tuan bertarikh 31 Mei 2011 lanjutan mesyuarat di antara Persatuan Damai dan Bank Simpanan Nasional yang telah diadakan pada 23 Mei 2011.

Bank Simpanan Nasional sebagai institusi kewangan kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan pelanggan-pelanggannya termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang perlu untuk orang ramai melakukan urusan perbankan dalam suasana yang selesa dan selamat.

Untuk makluman tuan, kemudahan laluan untuk golongan OKU berurusan di cawangan-cawangan kami sedang dilakukan secara berperingkat. Buat masa ini kemudahan tersebut telah sedia ada di cawangan Utama Kuala Lumpur.

Pihak Bank juga telah mengenalpasti cawangan Taman Melawati Kuala Lumpur yang akan dinaiktaraf dan dilengkapkan dengan kemudahan bagi golongan OKU pada suku ke 3 tahun ini. Selain itu, cawangan Jalan Dato Pati, Kota Bharu yang akan dinaiktaraf kepada Kiosk BSN juga akan disediakan dengan kemudahan bagi golongan OKU di mana projek ini dijangka siap dan beroperasi sebelum akhir bulan Ogos 2011.

Untuk makluman pihak tuan, buat masa kini BSN akan membuat penambahbaikan pemasangan railing’ di kiri dan kanan ‘ramp’, pemasangan karpet getah khas (sebahagian kawasan ‘ramp’) dari petak kereta ke pintu masuk cawangan dan penyediaan petak kereta bagi OKU bagi cawangan BSN di cawangan Kepong Baru.

Bank Simpanan Nasional menyambut baik cadangan dan pandangan Persatuan Damai dan berharap kerjasama ini akan terus berhasil mewujudkan BSN sebagai salah satu bank yang menyediakan perkhidmatan perbankan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan kurang upaya.

Sekian, terima kasih.

BANK SIMPANAN NASIONAL