Maybank Peruntuk RM16 Juta Tingkat Khidmat Pelanggan

KUALA LUMPUR 16 Jun – Malayan Banking Bhd. (Maybank) memperuntukkan RM16 juta bagi program transformasi perkhidmatan pelanggannya yang bermula sejak April lalu.

Lim Hong Tat (tiga dari kiri) memberi layanan kepada orang kurang upaya selepas majlis pelancaran cawangan Maybank untuk orang kurang upaya di Maybank Taman Connaught, Kuala Lumpur.

Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Ketua Perbankan Penggunanya, Lim Hong Tat berkata, program perintis yang melibatkan 70 buah cawangan Maybank yang kini meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan itu akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang Ogos tahun ini.

Beliau berkata, fokus kepada program transformasi ini ialah latihan dan pembangunan yang mana akan meningkatkan perkhidmatan para petugas di kaunter hadapan cawangan-cawangan Maybank.

“Sehingga kini Maybank telah membelanjakan RM3 juta hingga RM4 juta untuk latihan dan pakaian baru,” katanya kepada media selepas melancarkan cawangan Maybank yang menyediakan kemudahan mesra orang kurang upaya di Taman Connaught di sini hari ini.

Menurut Hong Tat, program transformasi perkhidmatan pelanggan telah memberi kejayaan kepada Maybank yang mana Bank Internasional Indonesia (BII) telah memenangi tempat pertama bagi anugerah amalan terbaik untuk perkhidmatan pelanggan di Indonesia.

Sementara itu, Maybank Taman Connaught merupakan antara lima buah cawangan yang dipertingkatkan dengan kemudahan orang kurang upaya dan bank tersebut telah melabur sebanyak RM280,000 bagi menyediakan kemudahan tersebut.

Cawangan lain yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik yang direndahkan serta laluan untuk kerusi roda ialah di Sitiawan dan Lumut di Perak, Senawang di Negeri Sembilan dan cawangan utama Petaling Jaya di Selangor.

Hong Tat berkata, Maybank merancang untuk menaik taraf kemudahan seperti itu di 12 cawangan lain sehingga Julai ini dengan anggaran kos antara RM40,000 bagi sebuah cawangan.

Tambahnya, semua cawangan baru itu akan menyediakan kemudahan untuk golongan kurang upaya sebagaimana yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.