OKU protes, desak Mid Valley sedia laluan khas ke stesen KTM

KUALA LUMPUR: Lebih 30 pengguna kerusi roda hari ini berhimpun di pintu masuk Mid Valley Megamall bagi mendesak pusat beli-belah itu menyediakan kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU).

Demonstrasi aman itu turut diadakan di hadapan stesen KTM Mid Valley yang dihadiri 2 badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (Damai) dan Dual Blessing.

Presiden Damai, V Murugeswaran berkata, ramai daripada mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk pergi ke pusat beli-belah itu kecewa kerana terpaksa membahayakan nyawa untuk merentas jalan ke Mid Valley.

Beliau berkata, pengguna kerusi roda terpaksa menyorong di tepi jalan sibuk, memandangkan tiada laluan pejalan kaki sesuai yang menghubungkan stesen kereta api dan pusat beli-belah itu.

“Selain itu, bebendul jalan juga terlalu tinggi untuk orang berkerusi roda.

“Kereta tidak akan berhenti atau perlahankan kelajuan dan kami terpaksa meminta bantuan untuk merentas jalan,” katanya.

Pemerhatian turut mendapati 2 polis bantuan ditempatkan pihak pengurusan Mid Valley berhampiran stesen kereta api itu untuk membantu OKU menyeberang jalan.

Seorang daripada polis bantuan itu berkata, mereka selalunya membantu pengguna kerusi roda turun daripada bebendul jalan, kerana ia terlalu tinggi untuk mereka turun sendiri.

Pengarah Eksekutif Dual Blessing, Danny Tan berkata, ramai daripada mereka pergi ke pusat beli-belah itu kerana banyak persidangan serta forum kelainan upaya diadakan di pusat pameran Mid Valley.

Bagaimanapun, mereka perlu menggunakan teksi atau bergantung kepada ahli keluarga untuk menghantar mereka ke sana.

“Kami mahu berdikari, itu sahaja yang kami minta. Kami tidak mahu membebankan orang lain.”

Murugeswaran berkata, beliau pernah menyuarakan isu itu kepada KTM, tetapi dimaklumkan “KTM tidak bertanggungjawab terhadap kawasan ini”.

Beliau kemudiannya menghubungi pihak pengurusan pusat beli-belah itu untuk mendapatkan jalan penyelesaian, tetapi diberitahu OKU perlu menelefon Mid Valley supaya seorang pegawai akan dihantar bagi membantu mereka.

“Bukan semua orang kelainan upaya ada nombor mereka. Jadi, saya minta satu penyelesaian supaya masalah ini boleh diselesaikan selama-lamanya. Kami mahu berdikari tanpa mengganggu sesiapa pun. Ini adalah konsep yang kami mahu.”

Murugeswaran berkata, jalan penyelesaian terbaik ialah membina laluan terus dari pusat beli-belah ke stesen kereta api supaya OKU tidak perlu membahayakan nyawa mereka dengan menyorong kerusi roda di laluan mendaki yang sibuk.

“Stesen kereta api dibina sebelum pusat beli-belah itu ada. Kenapa mereka tidak tempatkan KTM dalam pusat beli-belah itu terlebih dahulu? Ini dilakukan di banyak negara membantu bagi memudahkan orang kelainan upaya pergi ke pusat beli-belah.

“Kami mahu membangkitkan isu ini supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil kira kebimbangan kami dalam perancangan bandar.

“Saya harap selepas ini, Mid Valley dan DBKL dapat duduk bersama untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini. Saya tidak keberatan menyertai mesyuara itu untuk menyumbang idea.”

Sementara itu, Naib Presiden Damai, M Munusamy berkata, tanjakan OKU di luar stesen kereta api itu terlalu curam.

“Ia sepatutnya tanjakan zig-zag kerana ini terlalu curam untuk kami. Ia berbahaya.

“Pintu ke tanjakan itu dikunci setiap masa dan kami perlu menghubungi pekerja pusat beli-belah membuka pintu berkenaan jika mahu menggunakannya,” katanya sambil menambah jurang selebar 5 inci antara kereta api dan platform juga mendatangkan bahaya kepada pengguna kerusi roda.

http://www.beritabm.com/oku-protes-desak-mid-valley-sedia-laluan-khas-ke-stesen-ktm/