SPR pastikan OKU mengundi dengan selesa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menunaikan hak mengundi mereka dengan selesa, yakin dan menjamin kerahsiaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata kemudahan disediakan kepada OKU termasuk membenarkan ahli keluarga atau orang dipercayai menemani mereka ketika proses pengundian.

“Selain itu, petugas pilihan raya turut diberi kemudahan membantu pemilih OKU ke tempat mengundi dan menyediakan kemudahan seperti kerusi roda kepada pemilih yang uzur serta kurang upaya.

“Pemilih OKU juga akan sentiasa diberi keutamaan di pusat mengundi oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata demikian sebagai maklum balas terhadap cadangan dan saranan Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI) semalam yang meminta SPR menyediakan kemudahan pengundian mesra OKU pada PRU-14.

Presidennya, V Murugeswaran berkata, kemudahan itu dapat menggalakkan OKU keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sama seperti warga Malaysia yang normal.

Mohd Hashim berkata, SPR sememangnya mengambil kira keperluan bagi pemilih OKU dan akan meneliti saranan dikemukakan DAMAI bagi menyediakan kemudahan tambahan lain untuk golongan itu.

“SPR turut menghargai usaha DAMAI dan berharap semua pemilih dalam kalangan OKU dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dengan selesa dan lancar,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/390769/spr-pastikan-oku-mengundi-dengan-selesa