Tiada lagi murid OKU ditolak masuk sekolah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan memastikan bermula tahun depan tiada pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang ditolak daripada memasuki alam persekolahan.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata ia bertujuan memastikan golongan itu mendapat hak pendidikan yang sama seperti pelajar normal dan mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.

“Kami akan laksanakan zero reject policy bermula tahun depan yang mana kami akan pastikan selepas ini tiada lagi pendaftaran pelajar OKU yang ditolak daripada mengikuti pembelajaran di sekolah arus perdana,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang ingin tahu usaha yang diambil kementerian dalam memberikan pendidikan kepada golongan OKU.

Maszlee berkata kementerian itu turut menyediakan ‘laluan khas’ untuk golongan OKU melanjutkan pengajian di kesemua Universiti Awam (UA) di negara ini.

“Menerusi laluan khas ini, mereka (golongan OKU) akan diberikan ruang mudah untuk masuk (melanjutkan pengajian) ke UA walau macam mana pun keadaan (fizikal) mereka.

“Bagaimanapun, mereka perlu memenuhi syarat kemasukan bagi kursus yang dipohon,” katanya.

Maszlee berkata kementerian juga sedang menggubal Pelan Hala Tuju Pendidikan Murid Berkeperluan Khas bagi menjamin masa depan golongan itu.

“Pelan ini akan merangka tindakan intervensi komprehensif bagi murid keperluan khas dalam bidang pendidikan dan pastinya pelan ini akan memberi masa depan serta harapan baharu kepada murid OKU,” katanya. – Bernama

https://www.sinarharian.com.my/article/1819/BERITA/Nasional/Tiada-lagi-murid-OKU-ditolak-masuk-sekolah