UCAPAN PERDANA MENTERI MENGENAI BANTUAN KERAJAAN KEPADA GOLONGAN OKU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Golongan orang kelainan upaya atau OKU merangkumi 0.01 peratus daripada penduduk masyarakat Malaysia.

Namun usaha memelihara kebajikan mereka sangat dekat di hati saya. Bermula dari zaman persekolahan, pelajar OKU di sekolah rendah dan menengah menerima elaun sebanyak RM150 setiap bulan.

Untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, golongan OKU mempunyai saluran khas bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Pada masa yang sama, mereka yang berhak, menerima biasiswa dan elaun bulanan sepanjang pengajian di IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti.

Kerajaan turut memberi perhatian kepada golongan OKU apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Mereka mendapat elaun pekerja kurang upaya sebanyak RM350 sebulan manakala tidak berupaya untuk bekerja mereka menerima RM200 sebulan dan RM300 untuk penjagaan OKU terlantar.

Kerajaan juga turut membantu golongan OKU yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan. Geran pelancaran sehingga RM2,700 diberikan bagi membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup mereka melalui bidang keusahawanan.

Selain itu mereka mendapat rawatan perubatan secara percuma di hospital kerajaan. Mereka tidak perlu membayar rawatan pakar, bayaran ubat dan bayaran wad kelas ketiga.

Banyak lagi bantuan lain disediakan bagi memastikan mereka dapat menjalani hidup dengan selesa.

Saya minta jasa baik tuan-tuan dan puan-puan, tolong sampaikan kepada kenalan golongan istimewa ini tentang maklumat tersebut, agar mereka tahu akan hak-hak mereka.

Insya-Allah, kita dapat sama-sama menjamin kebajikan mereka dipelihara di negara kita ini.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

https://www.najibrazak.com/bm/audio-gallery/ucapan-perdana-menteri-mengenai-bantuan-kerajaan-kepada-golongan-oku/